Sunday, July 29, 2007

Kepentingan menguasai ilmu yang bermanfaat

Al-Quran memberikan asas tentang ilman nafia atau ilmu yang bermanfaat dan yanfaunnas atau sesuatu yang memberi manfaat kepada manusia. Sejarah pertumbuhan ilmu dan tamadun Islam telah menyebabkan ia tidak tertutup untuk memanfaatkan faedah berbanding dari tradisi keilmuan orang lain. Ada asas-asas universal yang terdapat pada ilmu yang berkenaan yang tidak bercanggah dengan faktor akidah dan syarak.
Kunjungan al Biruni ke India, pengembaraan Ibn Battuta ke serata ceruk dunia, penguasaan al Farabi, Ibn Sina terhadap ilmu-ilmu falsafah Greek-Yunani, anjuran Rasulullah supaya ilmu dituntut hingga ke negeri China.
Begitu juga kaedah menebus diri tawanan perang dengan mengajarkan anak-anak Islam kemahiran membaca dan menulis pada zaman Rasulullah. Semuanya adalah asas sandaran bahawa di samping pemerkasaan ilmu-ilmu Islam, ilmu yang bermanfaat dari tradisi dan tamadun lain harus dicari selagi ia tidak bercanggah.
Lebih-lebih lagi dewasa ini umat Islam menjadi pengguna kepada ilmu-ilmu sains dan teknologi dari Barat dan Timur. Hasil kekuatan sains dan teknologi ini kuasa-kuasa Barat memiliki upaya menakluk dan menjajah dan kuasa-kuasa sedang muncul sebagai negara maju dan bakal menjadi kuasa besar.

No comments: