Sunday, July 29, 2007

Menyingkap Keunggulan Tamadun Islam

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Institute for the History of Arabic-Islamic Science, Johannn Wolfgang Goethe University, Frankfurt German akan menganjurkan Pameran Kegemilangan Sains dalam Tamadun Islam: Sains Islam Mendahului Zaman bermula pada 8 Januari - 31 Mac 2007.

Matlamat utama pameran ini ialah untuk memperbetulkan persepsi masyarakat Islam bahawa pencarian ilmu bukanlah semata-mata kepada ilmu Naqli atau Ilmu Wahyu (Revealed Knowledge) sahaja tetapi juga ilmu Aqli (Akal) supaya wujud keseimbangan dalam pembangunan modal insan.

Kumpulan sasaran ialah para saintis, akademia, tokoh agama, ahli korporat, golongan professional, guru dan pelajar serta masyarakat umum.

Al-Haitham - Bapa optik moden

ABU Ali Hasan Al Haitham yang dikenali sebagai Alhazen di barat, merupakan Bapa Optik Moden. Beliau merupakan pakar fizik yang terunggul melalui sumbangan terhadap kaedah optik dan saintifik. Abu Ali Hasan dilahirkan pada 965 Masihi di Basrah dan mendapat pendidikan di Basrah dan Baghdad.
Beliau merantau ke Mesir dan Sepanyol tetapi hidupnya banyak dihabiskan di Sepanyol dengan mengendalikan penyelidikan mengenai optik, matematik, fizik, perubatan dan pembangunan kaedah saintifik.